Khamis, 20 Januari 2011

Oprah Pernah Cuba Bunuh Diri

Selebriti tertekan akibat hamil diperkosa ketika usia 14 tahun 


LOS ANGELES: Jutawan dan selebriti terkenal, Oprah Winfrey mengejutkan peminatnya apabila akhirnya membuat pengakuan secara terbuka dia pernah hamil selepas diperkosa dan cuba untuk membunuh diri ketika berusia 14 tahun berikutan insiden terbabit. 

Ketika saya menyedari saya hamil, saya terfikir lebih baik jika saya mati sebelum bayi terbabit lahir dan terpaksa memikul tanggungjawab berat sebagai ibu pada usia 14 tahun.

“Saya tidak bersedia kerana masih terlalu muda dan ia membuatkan saya tertekan kerana tiada tempat untuk mengadu masalah saya,” katanya dalam rancangan bual bicara Cable News Network (CNN), Piers Morgan Tonight, yang dihoskan bekas juri rancangan realiti dan penyunting akhbar, Piers Morgan.

Jutawan itu berkata tanpa berfikir panjang beliau nekad untuk meminum air sabun dan berharap dirinya akan mati dan ia dianggap jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Bagaimanapun umurnya masih panjang.

“Saya melakukan perkara bodoh kerana meminum air sabun. Ketika itu saya benar-benar memerlukan pertolongan tetapi tidak memperolehnya. Saya buntu dan tidak tahu cara untuk menyelesaikan masalah itu. Saya sangat takut dan hanya mampu menangis,” katanya.

Oprah berkata akibat tindakannya itu bayi yang dikandungnya keguguran.
“Saya menjadi begitu murung ketika itu dan saya menyangka hidup saya sudah hancur. Bagaimanapun saya akhir berjaya bangkit semula untuk meneruskan kehidupan saya,” katanya.

Jutawan itu juga mengakui beliau pernah mengalami kemurungan yang teruk pada 1998, apabila filem lakonannya Beloved, gagal memasuki senarai pecah panggung.

“Saya benar-benar kecewa ketika itu. Saya cuba menangani kemurungan dengan menjadikan makanan sebagai penawar. Saya makan tidak henti-henti,” katanya.

Oprah menambah dia menghabiskan sehingga 15 kilogram makanan berlemak termasuk burger dan keju.

Bagaimanapun kata Oprah, beliau akhirnya menyedari perlu berbuat sesuatu dan mendapatkan pertolongan sehingga berjaya mengatasi kekecewaannya.

“Pengalaman ini mengajar saya jika kegagalan berlaku, saya mesti berbuat sesuatu untuk memastikan ia tidak berulang lagi dan menghancurkan kehidupan saya,” katanya. – Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan